PERIHAL DRAMA PETANG-PETANG

  1. ‘Drama petang-petang’ adalah istilah percakapan harian yang diberikan masyarakat hari ini kepada slot drama televisyen yang disiarkan pada waktu petang (termasuk slot tayangan pada waktu malam).
  2. Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai ‘abang sulung’ dunia penyiaran di Malaysia telah menjadi perintis kepada perkembangan drama televisyen di Malaysia. Generasi terdahulu pasti cukup sinonim dengan ‘Drama Minggu Ini’ dan ‘Panggung RTM’ yang menghidangkan drama-drama tempatan sekurang-kurangnya 52 drama dalam setahun.
  3. Selain drama bangsawan dan barat, judul seperti Anjang Aki (1981), Tok Perak (1981) dan Perhentian (1982) merupakan di antara drama televisyen yang mendapat sambutan hangat.
  4. Rentetan itu, lebih banyak percubaan meneroka potensi kandungan drama tempatan dan antarabangsa. Formula soap opera dilihat menjadi dengan sambutan yang diberikan terhadap siri televisyen popular, Dallas (1978)
  5. Berasaskan kepada sambutan tersebut, sebuah siri yang dinamakan P.J. Holding telah diterbitkan. P.J Holding (1983) berkisar golongan korporat di bandar satelit Petaling Jaya yang sarat dengan pelbagai skandal dan konflik dalam dunia perniagaan. Antara barisan pelakon siri ini termasuklah Aziz Singah, Osman Zailani, Azmil Mustafa dan Yusof Haslam.
(Allahyarham) Aziz Singah dan Datuk Yusof Haslam dalam salah satu babak dalam siri PJ Holding