PERBUALAN LIMA ORANG LELAKI TENTANG ESTETIKA

DALAM esei Why I Write tulisan George Orwell, ada empat perkara yang menyebabkan seorang penulis itu menulis. Salah satunya ialah aesthetic enthusiasm (semangat estetika). Bagi Orwell, seorang penulis menulis untuk berkongsi persepsinya tentang keindahan dunia; kebahagiaan dalam sebuah dengungan bunyi pada satu bunyi yang lain; dan kehendak untuk berkongsi pengalaman yang bernilai daripada dirinya sendiri. Ketika ramai orang melihat keindahan adalah sebuah kecantikan, tetapi ternyata estetika tidak menilai kecantikan itu sebagai suatu bentuk keindahan. Kerana kecantikan itu adalah sesuatu yang terlalu material, tetapi keindahan itu memberikan peluang kepada seorang penulis untuk menghayati kehidupan kata-katanya sekalipun hidupnya sentiasa dalam kesusahan. Keindahan itu hadir daripada rasa dalam dirinya yang menikmati suatu pengalaman dalam diri, dan hanya dirinya sahaja yang memahami bagaimana pengalaman itu menjadikannya tidak mahu keluar daripada lingkungan sebegitu.

Saya sendiri selalu bermonolog mencari-cari ruang dalam diri sendiri untuk menemui  dan memahami akan makna sebuah keindahan. Keindahan itu mungkin berupaya ditemui, tetapi bagaimana untuk ianya difahami? Ketika kita menatap senyuman seorang Mona Lisa, bagaimana kita menikmati keindahan daripada sekadar senyuman pada sebuah potret itu dan kenapa Leonardo da Vinci begitu meyakini bahawa penatap karyanya itu mendapatkan keindahannya sehingga bertahun-tahun ditumpahkan seluruh cat dan berusnya hanya untuk melakar lukisan wajah seorang wanita? Bagaimana seorang penyair meyakini akan puisi-puisinya itu mampu memberi kesan keindahan kepada pengalaman pembacanya? Persoalan tentang keindahan adalah persoalan yang sentiasa dicari-cari tetapi tidak dapat hendak diukur dengan pasti, kerana setiap orang adalah berbeza akan makna keindahannya kerana boleh jadi, keindahan itu juga adalah dibentuk oleh latar peribadinya.