MENULIS CERITA YANG AKAN TERUS DIINGATI

MALAM itu adalah malam kuliah kedua bersama-sama S.M. Zakir. Aku malu sendiri apabila aku tiba lebih lewat daripada S.M. Zakir, yang rupanya sudah berada di #KABO lebih awal. Tetapi kuliah belum bermula. Abang Hafiz dan Kak Zalila di atas kerusi. Termos air yang aku ketahui berisi kopi hitam dan beberapa gelas sudah tersedia di atas meja. Aku ke tandas terlebih dahulu melepas hajat – ditahan-tahan semenjak bergerak dari UKM. Malas ketika belum benar-benar mendesak. Sedikit penat, ya, tetapi nikmat. Pertama, dapat melepaskan hajat. Kedua, dapat mengikuti kelas pengajian bersama Abang Zakir yang aku akan menyesal sekali andai terlepas peluang. Kuliah bukan tentang teknik menulis dengan kreatif, tetapi tentang bagaimana membina isi padu pemikiran dalam menghasilkan sebuah karya penulisan.

Malam itu kuliah bertajuk Darah, Nafas, dan Jantung dalam Cerita. Tajuk itu sendiri sepertinya terasa menggelegakkan darah, menghangatkan nafas, dan mendentumkan jantung. Abang Zakir tenang sahaja menyemak makalahnya dan menggariskan isi-isi yang akan dijadikan point pembentangannya nanti. Aku duduk dan membaca terlebih dahulu makalah tersebut sepintas lalu, kerana waktu yang berbaki tidak memungkinkan aku menghabisinya dengan tekun. Abang Hafiz dan Kak Zalila meneruskan rutin membawang mereka. Ada gelak dan tawa; ada cerita yang rahsia daripada rakaman suara. Aku mendengar dan tersenyum.