PUISI ADALAH TEMPAT MEREHATKAN LOGIK

KETIKA membaca sesebuah puisi, ramai orang melihat bahawa puisi itu adalah seperti seorang sarjana yang bermain dengan simbol-simbol yang memuntahkan logik-logik dunia ke dalam simbol-simbol yang tidak logik. Lalu masing-masing pun berbondong-bondong bertemankan secangkir kopi di atas meja (mungkin), lalu membuka sebuah buku puisi (contohnya buku puisi yang dibaca adalah Sungai Mekong karangan Latiff Mohidin; Sihir Hujan buah tangan Sapardi; mahupun Katarsis hasil larutan Zaen Kasturi) dan membacanya santak ke pagi. Pembacaan itu menyebabkan dahi berkerut seribu kerana betapa alegori masing-masing adakala terlalu peribadi atau maksudnya adalah terlalu rahsia dan disimpangkan fungsinya daripada kebiasaan simbolisme yang digunakan oleh para penyair dalam puisi-puisinya.

Masing-masing pun cuba mentakwil puisi-puisi tersebut dengan satu pemaknaan yang logika dengan mencantum-cantum konteks-konteks kehidupan tertentu sehingga puisi yang gila telah diwaraskan semua. Pentakwilan itu tidak ubah seperti pentakwilan dalam mazhab ilmu kalam yang mentakwilkan ayat-ayat yang memiliki kekaburan makna daripada teks-teks suci (ayat mutasyabihat) kepada satu makna dan penjelasan yang lebih jelas dan logik diterima dalam akal manusia bagi memahami hal-hal ketuhanan yang terlalu kabur dalam fikiran manusia. Hinggalah akhirnya, puisi sebagai suatu hasil seni telah dirogol berkali-kali sehingga nilai kesenian itu telah hilang daranya sehingga ia telah bertukar menjadi sebuah hasil kesarjanaan.