SECANGKIR COKLAT DI MINGGU YANG HANGAT

“Kak Eja. Aku akan main (datang) ke Ka El (KL) September nanti.”

“Silakan. Kami sambut di sana. Beritahu aku tanggalnya.”

Itu malam bulan Mei di rumah Irwan Bajang ketika saya dan Hafiz ke Jogja. Tanpa sebarang perancangan apapun untuk September. Kami bersantai. Tiga pasang suami isteri, bekerja dalam bidang seni dan sastera, dan akhirnya meninggalkan suami-suami sahaja berbincang hal-hal serius tentang kerja santak ke Subuh. Dan perancangannya tiba awal Ogos ke kantung mesej di WhatsApp saya. Daripada berjalan-jalan tanpa arah hujung September nanti, kami merancang kolaborasi.

Satu penghormatan bagi kami menerima Eka Nusa Pertiwi hujung September ini. Bagi saya wanita ini memang anak seni sejati. Dia bukan hanya selebriti. Tetapi seorang artis; bekerja untuk seni dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Antara bukti terdekat, meski sibuk dengan pementasan saban malam, Eka tidak pernah melepaskan tanggungjawab kolaborasi kepada kami semata-mata di Legasi Oakheart. Dari Jogjakarta, nun jauh merentas negara, setiap hari Eka berusaha memenuhi setiap keperluan untuk Secangkir Coklat Di Minggu Yang Hangat yang akan berlangsung hujung September ini.

Seni fotografi The Wedding Kite oleh Harry Hartantio

Eka Nusa Pertiwi sudah sedekad dalam bidang lakonan. Bermula dengan teater pada tahun 2007 dan memenangi Anugerah Aktres Terbaik Festival Jakarta Timur pada tahun yang sama, Eka ternyata tidak mahu berhenti daripada cintanya ini. Dan jelas, takdirnya memang dalam bidang ini kerana beliau telah mendapat biasiswa bagi Studi Akting (Lakonan) di Institut Kesenian Indonesia (ISI) Jogjakarta.